Blogger Widgets

Saturday, 28 April 2012

Situasi Tiga Puluh Enam-30/04/12

PERANCANGAN BAHASA

Perancangan bahasa merupakan rangkuman usaha-usaha yang dijalankan oleh pertubuhan atau jawatankuasa tertentu, yang mencakupi segala usaha yang dijalankan oleh pertubuhan tersebut. Usaha yang dilakukan ini mencakupi juga usaha pembinaan, pengubahsuaian dan pembakuan terhadap sesuatu bahasa berkenaan. Selain itu, perancangan bahasa melibatkan banyak pihak kerana menyentuh pelbagai sektor seperti bahagian latihan guru, maktab perguruan, sekolah, Biro Buku Teks dan sebagainya. 

Perancangan bahasa dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu:
  • Perancangan status/taraf
  • Perancangan korpus 
1) Perancangan status/taraf
Perancangan status/taraf dalam bahasa Melayu melibatkan tiga pecahan atau taraf iaitu:
  • Bahasa kebangsaan, sebagai lambang dan unsur penyatuan bangsa Malaysia  
  • Bahasa rasmi,  penyedian medium untuk bahasa Melayu berkembang bagi aspek profesional seperti pentadbiran, pengurusan, undang-undang dan lain-lain.
  • Bahasa pendidikan,  pemupukan bahasa sebagai bahasa moden, khususnya sebagai bahasa ilmu.
2) Perancangan korpus
  • Pemilihan tulisan seperti Akta Bahasa 1963 menetapkan tulisan rumi sebagai tulisan rasmi bahasa Melayu.
  • Sistem ejaan Rumi bahasa Melayu yang dilancarkan penggunaannya oleh YAB Tun Abdul Razak pada 16 Ogos 1972.
  • Sebutan Baku yang diisytiharkan penggunaannya pada 1988.
Namun begitu, terdapat juga bahagian lain yang tercakup dalam perancangan bahasa iaitu perancangan pemerolehan.
  • Perancangan pemerolehan adalah berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa, baik bahasa kebangsaan mahupun bahasa kedua atau bahasa asing. Perancangan pemerolehan ini merupakan salah satu usaha yang bertujuan untuk mempengaruhi bilangan pengguna serta pengagihan bahasa dan pengenalan huruf-huruf kepada masyarakat.
  • Perancangan pemerolehan ini juga sinonim dengan penyebaran bahasa



Situasi Tiga Puluh Lima-27/04/12

BAHASA INKLUSIF

Bahasa insklusif dapat dipecahkan kepada eman jenis iaitu Bahasa Kebangsaan, Bahasa Rasmi, Lingua Franca, Bahasa Pijin, Bahasa Kreol dan Bahasa Koine. Bahasa Kebangsaan merupakan bahasa yang perlu dikuasai oleh kita, rakyat Malaysia. Bahasa Kebangsaan merupakan bahasa asal bagi orang Melayu. Bahasa Kebangsaan sinonim dengan bahasa Melayu yang dipertutur oleh rakyat Malaysia. Bahasa kebangsaan ini adalah sebagai lambang perpaduan bagi masyarakat Malaysia di samping sebagai ukuran untuk menunjukkan identiti atau jati diri masyarakat Malaysia.

Bahasa Kebangsaan diwujudkan untuk memenuhi pelbagai fungsi. Antara fungsi bahasa Kebangsaan ialah:
  • Bahasa rasmi- Bahasa Kebangsaan digunakan dalam majlis-majlis rasmi contohnya semasa mesyuarat dan juga dalam urusan-urusan penting
  • Bahasa pentadbiran- Bagi urusan yang berkaitan dengan negara, bahasa kebangsaan wajib digunakan
  • Bahasa pengantar utama-Bahasa kebangsaan wajib digunakan di sekolah, universiti dan di mana-mana institusi pengajian
  • Media massa- Bahasa kebangsaan juga berfungsi sebagai bahasa penghantar maklumat, baik dalam media cetak mahupun media elektronik
  • Pusat Pengajian Tinggi- Sebagai bahasa penghantar di universiti dan sekolah di seluruh Malaysia
  • Upacara Konvokesyen-Bahasa penghantar ketika majlis istiadat konvokesyen di semua universiti
  • Parlimen-Bahasa kebangsan berfungsi sebagai bahasa penghantar ketika di Parlimen. Tetapi, kebanyakan perbincangan digunakan dalam bahasa Inggeris, iaitu bagi kes yang memerlukan saksi dari luar negara.



Friday, 27 April 2012

Situasi Tiga Puluh Empat-26/04/12

Kesantunan dalam konteks Sistem Pesanan Ringkas (SMS)

Pada entri kali ini, syaa ingin berkongsi tentang bahasa SMS dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya, pada masa kini. Hal ini demikian kerana, dalam kelas sebelum ini Puan Husna ada menyentuh tentang aspek kesantunan bahasa dalam bahasa SMS. Bahasa SMS merupakan salah satu faktor berlakunya kerencaman bahasa, bahasa pencampuran kod, bahasa slanga dan sebagainya. Selain itu, melalui SMS juga, masayarakat tidak dapat mengenal pasti gaya dan intonasi yag diujarkan oleh si pemberi. Maknanya, akan berlakulah beberapa percanggahan pendapat, maklumat dan salah faham antara si penerima dan si pemberi SMS. 


Selain itu, aspek kesantunan bahasa juga berada pada tahap yang minimum dalam perhubungan SMS. Hal ini demikian kerana, segala bahasa yang terdapat dalam SMS sukar dikenal pasti kesantunannya. Bahasa dalam konteks SMS adalah sangat bahaya kerana kita tidak dapat mengesan nada, intonasi si penerima, yang menyebabkan kita tidak dapat mengetahui niat si pemberi. Sebagai contohnya, jika seseorang tersebut ingin meminta pertolongan, bahasa SMS dapat menyebabkan niat seseorang penerima itu disalahtafsirkan.

"Tolong datang ke bilik saya pukul 9 malam esok untuk ambil senarai nama"

Bahasa SMS seperti berikut merupakan bahasa biasa yang berbentuk permintaan jika diucapkan secara lisan. Namun begitu, ujaran ini akan disalah tafsir jika dibaca dalam konteks SMS. Hal ini demikian kerana, meskipun terdapat frasa 'tolong' sebagai ayat permintaan, namun tanpa mendengar nada dan intonasi, ayat ini akan ditafsir sebagai satu bentuk arahan dalam konteks SMS. Oleh yang demikian, bahasa SMS meruapakan cara berkomunikasi yang sangat bahaya.


*p/s: Maka, untuk penambahbaikan, janganlah menghantar SMS, sebaliknya, hubungi terus. :)

Thursday, 26 April 2012

Situasi Tiga Puluh Tiga-25/04/12


Rumus Perurutan

Rumus perurutan merupakan rumus dalam bentuk sapaan yang dimulakan dengan rujukan kehormat seseorang individu itu terlebih dahulu. Kemudian, barulah disusuli dengan gelarannya dan kemudian nama peribadinya. Sebagai contoh, Yang Berbahagia Dr. Puteri Norakmal Farahin binti Megat Pauzi. (AMIN!). Maka, sebagai menghormati pangkat dan gelaran seseorang individu itu, kita perlulah mengesahkan kewujudan dan tarafnya dengan menyebut namanya beserta dengan gelaran dan pangkatnya. 

Berikut merupakan senarai ringkas tentang rujukan kehormat beserta huraiannya. Moga maklumat ini dapat membantu rakan sekalian dan diri saya sendiri. Hal ini demikian kerana, rujukan-rujukan ini sangat berguna kepada kita, khususnya sebagai bakal guru bahasa yang akan mengendalikan pelbagai majlis formal di sekolah mahupun di luar sekolah. 

Rujukan kehormat
Huraian
Yang Amat Arif
Ketua Hakim Negara
Yang Amat Berhormat

 Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.
(Panggilan ini tidak digunakan dalam Dewan Rakyat/Dewan Negara kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar yang juga adalah Ahli Parlimen.
Yang Amat Berbahagia
Tun dan Toh Puan.
Yang Amat Mulia
Undang (luak di Negeri Sembilan).
Yang Arif
Hakim (pada situasi yang formal seperti di mahkamah dan sebagainya).
Yang Berbahagia

Tan Sri, Puan Sri, Datuk Seri, Datuk Paduka, Datin Paduka, Dato', Datuk dan Datin (yang bukan wakil rakyat).
Yang Berhormat

Menteri, Timbalan Menteri, Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negeri, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara, dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
Yang Berhormat Mulia

Menteri, Timbalan Menteri, Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negeri, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang berketurunan raja.
Yang Maha Mulia

Sultan atau raja yang memerintah (biasanya "Duli Yang Maha Mulia");
Yang Mulia

Mereka yang bergelar Tengku, Raja, Syed, Engku (Ungku) dan Datu.
Yang Teramat Mulia

Keluarga diraja yang terdekat.


Tuesday, 24 April 2012

Situasi Tiga Puluh Dua-24/04/12

Pada entri kali ni, saya ingin berkongsi tentang salah satu rumus yang telah diperkenalkan oleh Ervin-Tripp iaitu rumus kejadian bersama. Seperti yang telah diterangkan dalam entri saya yang sebelum ini, rumus kejadian bersama ini merupakan suatu rujukan kehormat yang disesuaikan dengan kedudukan orang yang disapa. Kata sapaan perlu dimulakan dengan rujukan kehormat dan barulah disusuli dengan namanya sendiri. Contohnya, Yang Berbahagia Prof. Dato' Dr. Zakarian b. Kasa.

Terlanjur berbicara tentang rumus kejadian bersama ini,jadi saya ingin mengulas sedikit tentang pengaruh rumus Ervin-Tripp ini dalam kehidupan sosialisasi/bermasyarakat pada masa kini. Bagi saya, rumus kejadian bersama ini semakin mendominasi persekitaran di Malaysia. Jika diambil dari contoh yang dekat, sudah tentulah UPSI menjadi subjeknya. Baik majlis rasmi mahupun tidak rasmi, rumus kejadian bersama ini bagaikan sukar untuk ditinggalkan. Maksud saya, memang tidak dapat dinafikan bahawa rujukan kehormat diperlukan untuk majlis-majlis formal. Namun, rujukan kehormat ini turut diguna pakai dalam majlis yang tidak formal. Bahkan, untuk berbual secara tidak formal juga, rujukan kehormat ini digunakan meskipun sesama rakan sepangkat dan mempunyai taraf rujukan kehormat yang sama. Contohnya, Yang Berbahagia Dr. Abu bin Bakar dengan Yang Berbahagia Dr. Siti bin Ishak. 

Hakikatnya, masyarakat di Malaysia memandang rujukan kehormat ini sebagai sesuatu yang penting dan perlu diutamakan. Bahkan, terdapat sebilangan individu yang sanggup memberi denda atau memarahi individu yang lain jika namanya tidak disebut atau disertakan dengan rujukan kehormatnya itu. Sekian, sedikit luahan hati dari pelajar UPSI yang kecil ini. 


Monday, 23 April 2012

Situasi Tiga Puluh Satu-23/04/12

Pada minggu lepas, telah diadakan pembentangan tentang drama yang dirakam oleh setiap kumpulan. Pembentangan tersebut selari dengan soalan dan objektif yang diminta oleh Puan Husna iaitu merakamkan aspek kesantunan bahasa dalam beberapa situasi sama ada situasi formal, tidak formal dan sebagainya. Maka, terdapat beberapa kumpulan telah membentangkan hasil rakaman mereka dan boleh dikatakan bahawa kesemua kumpulan merakamkan aspek kesantunan bahasa dalam situasi tidak formal, dan terdapat satu buah kumpulan sahaja yang merakamkan aspek kesantunan yang terdapat dalam majlis formal. Namun, isu dan mesej yang ingin disampaikan oleh kesemua kumpulan ialah sama iaitu mengenai kesantunan berbahasa oleh masyarakat di Malaysia, khususnya.

Ulasan saya tentang rakaman yang telah dibuat ialah, saya kini menyedari bahawa kejadian atau situasi yang telah dirakam dan ditayangkan kepada kelas merupakan situasi yang biasa berlaku di dunia realiti. Maksudnya di sini ialah, kebanyakan situasi yang dirakam tersebut dialami oleh saya sendiri, rakan-rakan, pensyarah dan sebagainya. Jika diimbas kembali, terdapat kumpulan yang merakamkan situasi tidak mengamalkan kesantunan bahasa antara pelajar (mahasiswa UPSI) dengan orang yang lebih tua (kerani FBK), orang yang mempunyai pangkat (para pensyarah) dan sebagainya. Maka, saya akan ulas aspek ketidaksantunan bahasa dalam situasi tersebut berdasarkan rumus Alternasi.



Namun, sebelum itu, saya akan terangkan terlebih dahulu tentang rumus Alternasi itu sendiri. Para 'blogger' sekian, rumus Alternasi telah diperkenalkan oleh Ervin-Tripp berdasarkan sistem sapaan. Ervin-Tripp telah memperkenalkan tiga jenis rumus dalam sistem sapaan iaitu:



  • Rumus Alternasi
Rumus alternasi ialah, rumus yang menggunakan kaedah yang berkaitan dengan cara seseorang tersebut berkomunikasi. Seseorang akan memilih salah satu daripada pasangan seperti antara kanak-kanak atau orang dewasa, diketahui nama atau tidak, bergelar atau tidak, tua atau muda, dalam keadaan berstatus atau tidak dan sebagainya. Kesemua ini meruapakan faktor yang mempengaruhi penggunaan sistem sapaan bagi seseorang individu tersebut. Contohnya, gelaran Yang Berbahagia bagi individu berpangkat dalam sesebuah majlis formal, tuan/puan dalam sesebuah organisasi yang formal,serta sebagainya.
  • Rumus Kejadian Bersama
Berdasarkan rumus ini, sesuatu rujukan kehormat mesti disesuaikan dengan kedudukan orang yang disapa. Dalam bahasa Melayu, terdapat rujukan kehormat yang mesti dipakai pada tempat yang telah ditetapkan.Maknanya, kata sapaan perlu dimulakan dengan rujukan kehormat terlebih dahulu dan barulah diikuti dengan gelaran yang disandang, kemudian namanya sendiri, seperti yang telah dirakamkan oleh kumpulan saya iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Kodri bin Ishak.
  • Rumus Perurutan
 Terdapat susunan kata-kata sapaan yang dimulai dengan rujukan kehormat kepada gelaran yang disandang dan selepas itu nama peribadi yang disapa. Gelaran yang dimiliki, jika lebih daripada satu, perlu diatur mengikut kaedah yang biasa atau ditetapkan penggunaannya. Contohnya,  Yang Berbahagia Dato' Paduka Dr. Junaidi bin Abu Bakar perlu disebut dengan rujukan kehormatnya terlebih dahulu iaitu Yang Berbahagia, kemudian gelaran yang disandang olehnya iaitu Dato' Paduka Dr. dan namanya ialah Junaidi bin Abu Bakar.


Oleh itu, berdasarkan rumus Alternasi, saya dapat mengulas sedikit tentang rakaman yang telah ditayangkan oleh kumpulan 1 yang diketuai oleh saudara Kodri. Jika diulas berdasarkan rumus Alernasi, maka kita dapat lihat pemilihan atau penggunaan rumus ini dalam sistem sapaan di dalam video tersebut. Rumus ini dapat dilihat melalui pembawaan watak Kodri dan Nabsiah berdasarkan pasangan diketahui namanya atau tidak. Nabsiah menggunakan sistem sapaan yang tidak sopan ketika berkomunikasi dengan Kodri, meskipun Nabsiah tidak mengenali sama sekali Kodri. Tambahan lagi, Kodri merupakan orang yang lebih berpangkat daripanya dirinya. Selain itu, daripada pasangan orang tua dan muda pula, Nabsiah langsung tidak menghormati Puan Ann (Azreen) iaitu kerani di FBK. Malahan, Nabsiah bercakap dengan bahasa yang kurang sopan, biadap dan sombong.

Berdasarkan rakaman dan rumus Alternasi ini, pelbagai maklumat baharu yang telah saya perolehi dan saya sama sekali tidak pernah puas, bahkan makin seronok untuk mengetahui dengan lebih lanjut.

*p/s: Ilmu Itu Indah. :)

Friday, 20 April 2012

Situasi Tiga Puluh-20/04/12



Assalamualaikum semua... Seakan sudah habis idea untuk menyiapkan blog ini. Tetapi, tidak mengapa kerana idea itu boleh dicari. Ini semua pengalaman (Maaf kerana bermuhasabah diri sebentar di papan blog ini. :) ). Pada entri kali ini saya ingin berkongsi tentang bahasa pergaulan dalam hidup bermasyarakat. Maka, saya telah skopkan perkongsian saya pada hari ini kepada kehidupan bermasyarakat sesama rakan iaitu di UPSI. Bahasa pergaulan yang ingin saya kongsikan di sini adalah tentang ayat arahan, perintah, suruhan, silaan dan juga ayat untuk meminta pertolongan. Mungkin entri kali ini menjadi wadah luahan tentang apa yang sedang saya alami sekarang. (opsss!)

Jika seseorang itu ingin meminta pertolongan, mahupun memberi arahan atau menggunakan ayat silaan, seseorang itu perlu mengetahui terlebih dahulu perbezaan di antara ketiga-tiga aspek ini. Hal ini demikian kerana, mesipun ketiga-tiga jenis ayat ini tercakup dalam kelompok yang sama iaitu ayat perintah, namun terdapat penggunaan yang khusus bagi ketiga-tiga aspek tersebut. Sebagai contohnya, (Ahmad Khair Mohd Nor, 2009: 147) menyatakan bahawa ayat perintah ialah ayat yang digunakan untuk menyuruh seseorang melakukan sesuatu. Ayat perintah ialah ayat yang menyuruh, melarang, mempersilakan, atau meminta seseorang melakukan sesuatu. Ayat perintah terbahagi kepada empat jenis iaitu, ayat suruhan, ayat permintaan, ayat larangan, dan ayat silaan. 

AYAT PERINTAH

a.Ayat Suruhan
 Ayat ini bertujuan memberi arahan atau perintah.

b. Ayat Permintaan
1. Ayat ini bertujuan memohon pertolongan dan permintaan.
2. Ia menggunakan perkataan tolong dan minta pada permulaan ayat.
Contoh:           Tolong bawakan minuman ini ke dapur.
Minta hadirin semua bergerak ke bilik jamuan.
                                                               (Tatabahasa Dewan, 2004: 431)

c. Ayat Larangan
1. Ayat ini bertujuan melarang melakukan sesuatu .
2. Ia menggunakan kata silaan seperti usah, tak usah dan jangan.
Contoh:           Jangan minum air itu.
Usahlah menangis lagi.
Jangan petik bungs itu.
                                                             (Tatabahasa Dewan, 2004: 430)

d. Ayat Silaan
1. Ayat ini bertujuan mempersilakan atau menjemput seseorang.
2. Ia menggunkan kata silaan seperti sila dan jemput pada permulaan ayat.
Contoh:           Sila bawa sejadah bila ke surau.
Jemputlah menikmati
                                                              (Tatabahasa Dewan, 2004: 430)

Oleh yang demikian, berdasarkan sedikit maklumat yang telah saya kongsikan seperti di atas, kita dapat ketahui perbezaan di antara keempat-empat jenis ayat perintah. Maka, secara tidak langsung kita dapat mengetahui niat atau memahami maksud yang disampaikan oleh seseorang kepada kita. Sebagai contohnya, sebagai seorang ketua, yang akan mengemudi 'kapal' dan anak-anak kapalnya, aspek berbahasa sebegini perlu dititikberatkan. Hal ini bagi mengelakkan kekeliruan, dan kepincangan dalam penerimaan arahan dan yang paling penting ialah ayat perintah ini akan dan PASTI mendinginkan 'suasana' jika ayat sebegini disalahgunakan. Idea yang cuba saya sampaikan ialah, ayat perintah sesama rakan khususnya mahasiswa UPSI ini dapat mengeruhkan suasana. Ayat permintaan yang sepatutnya dihiasi dengan kata 'tolong dan minta' berubah serta-merta menjadi ayat suruhan. Tamabahan lagi, perbualan ini merupakan perbualan sesama rakan, yang tiada perbezaan dari aspek pangkat (gelaran akademik atau ikhtisas) dan sebagainya. Secara tidak langsung, individu yang menerima arahan tersebut akan berasa berat untuk memenuhi permintaan pihak yang pertama. Sebagai contoh:

'Saya nak Siti jadi ketua untuk rombongan ini dan cari saya untuk ambil tentatif program'
'Kepada Ahmad, saya nak kamu jumpa Dr. dan tunjuk senarai nama ini'

Berdasarkan ayat dia atas, bukankah lebih manis dan elok jika diselitkan dengan kata permintaan 'sila, tolong dan minta'?. Pengguguran kata-kata ini dalam ayat tersebut telah menyebabkan ayat ini menjadi ayat suruhan. Secara tidak langsung, hubungan sesama rakan akan menjadi dingin. Namun begitu, inilah yang dikatakan tentang bidang 'sosiolinguistik bahasa Melayu'. Saya dapat mempelajari penggunaan konteks-konteks tertentu dalam ayat dan dalam masa yang sama saya dapat memahami warna-warni bahasa dalam sesebuah pergaulan. Sekian, mohon permisi.

*p/s: Budi bahasa budaya kita. 

Thursday, 19 April 2012

Situasi Dua Puluh Sembilan-19/04/12

Assalamualaikum semua. Hari ini merupakan Hari Keputeraan Sultan Perak. Maka, kami (pelajar UPSI) diberi cuti khas. Alhamdulillah, dapatlah saya menyiapkan tugasan blog yang masih berbaki. Maka, dalam entri kali ini saya ingin mengulas tentang Bahasa Istana. Seperti yang saya sedia tahu, bahasa istana merupakan  bahasa perhubungan dalam kalangan kerabat diraja dan rakyat jelata. Golongan istana mempunyai perbezaan yang ketara dengan golongan biasa iaitu golongan rakyat baik dari aspek bahasa, sosial, dan sebagainya. Hal ini demikian kerana, golongan atau kerabat istana merupakan golongan yang mempunyai tata tingkat yang tertinggi dalam hierarki sosial di Malaysia.




Bahkan, menurut Asmah Haji Omar (2004:1), bahasa diraja merupakan bahasa yang digunakan dalam perhubungan kebahasaan di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak terdiri daripada golongan diraja. Perhubungan bahasa diraja juga mempunyai dua bahagian atau aspek iaitu konteks rasmi dan juga tidak rasmi. Sebagai makluman, konteks rasmi ialah penggunaan bahasa istana dalam urusan rasmi. Sementara itu, penggunaan tidak rasmi pula ialah kegiatan kebahasaan antara keluarga diraja dengan rakyat jelata ketika kegiatan sosial dan kekeluargaan. Selain itu, perbezaan antara bahasa istana dengan bahasa bukan istana ditandai oleh beberapa faktor iaitu sebutan, kata ganti nama diri, ungkapan, kosa kata dan tatabahasa. Contohnya seperti berikut:



           Bahasa Istana                                Bahasa Biasa

            Almarhum                                   Allahyarham
                                         ampun kurnia                                     maaf
                                            anugerah                                      beri; hadiah
                                              baginda                          dia (raja menyapa rakyat)
                                               beradu                                        tidur
                                             berangkat                            berlepas; bertolak
                                          bercemar duli                           berjalan; pergi ke
                                            berkenan                                 sudi; suka akan
                                            berputera                                beranak; bersalin
                                            bersiram                                         mandi
                                                beta                                         saya (raja)
                                               gering                                          sakit
                                     hari keputeraan                               hari jadi
                                           iram-iram                                       payung
                                             kaus                                              kasut
                                              kurnia                                          beri; hadiah
                                              mahkota                                         topi
                                          makam                                             kubur
                                             mangkat                              mati; meninggal dunia
                                          menghadap                                   menjumpai
                                             murka                                           marah
                                              patik                         saya (rakyat menghadap raja)
                                          peraduan                                      tempat tidur
                                          permaisuri                                        isteri
                                           putera                                             anak lelaki
                                           puteri                                         anak perempuan
                                          santap                                               makan
                                          semayam                                     duduk; tinggal
                                          sembah                                        memberi salam
                                       singgahsana                                        kerusi
                                          titah                                            kata; perintah

Oleh yang demikian, sebagai rakyat khususnya kita seharusnya mengetahui dan mempelajari selok belok bahasa istana supaya warisan ini terpelihara dan akan membantu kita pada masa hadapan. Daulat Tuanku.










Wednesday, 18 April 2012

Situasi Dua Puluh Lapan-18/04/12


Selamat petang semua. Saya baru sahaja pulang dari menghadiri kelas Sosiolinguistik Melayu. Seperti yang kita tahu, pada pagi tadi telah diadakan pembentangan drama yang telah dirakam oleh setiap kumpulan. Namun begitu, pada entri kali ini saya bukannya ingin berkongsi tentang aspek persembahan drama yang telah saya tonton di dalam kelas tadi. Tetapi, saya ingin berkongsi tentang bahasa sindirin yang saya alami ketika Forum MBMMBI. Isu atau situasi ini timbul apabila Puan Husna menyentuh tentang kehadiran kami pada hari forum itu berlangsung. Maka, dengan secara tidak langsung saya teringat tentang satu situasi yang berlaku pada hari tersebut.

Pada hari berlangsungnya Forum MBMMBI tersebut, saya merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa yang terlibat. Saya merupakan AJK Protokol. Oleh sebab itu, sejak awal pagi lagi saya sudah berada di auditorium untuk membuat persiapan forum tersebut seperti kedudukan kerusi VIP, alas meja, dulang, hadiah, gelas dan air mineral untuk VIP dan sebagainya. Segala persiapan perlu dilakukan pada awal pagi dan saya, sebagai AJK Protokol perlu berada di dalam auditorium, sepanjang upacara perasmian dan forum itu berlangsung. Maka, saya berasa sangat lapar kerana tidak menjamah sebarang makanan sejak awal pagi. Saya dan rakan-rakan yang lain perlu menunggu di dalam auditorium kerana para tetamu sedang menjamu sarapan pagi di bilik makanan. 


Sesudah selesai majlis perasmian, saya dan rakan yang lain berpusu-pusu ke bilik makanan VIP. Hajat kami hanyalah untuk menjamah seketul kuih dan meminum secawan air SAHAJA. (Hajat kami pada awalnya). Namun, hampir 10 minit saya dan rakan-rakan berada di dalam bilik makanan tersebut. Tiba-tiba, kami didatangi oleh seorang pensyarah. Encik Khairul Azam. Ya! Encik Khairul Azam. Kami berasa terkejut tetapi berlagak biasa, bagai tiada apa. Tiba-tiba, Encik Khairul Azam masuk dan bersuara:


Encik Khairul Azam : (Sambil menjeling ke seluruh penjuru bilik) "Boleh saya masuk?"
KAMI : (Terkedu tetapi masih BIASA) "Boleh encik. Sila. sila."
Encik Khairul Azam : (Mencapai kerusi lantas duduk) "Saya nak minum air secawan je. Boleh?"
KAMI : (Menjawab dengan bersungguh-sungguh) "Boleh. boleh, Encik."
Encik Kharul Azam: (Memandang kami, sambil minum) "Ramainya kat sini. Patutlah dalam audi KOSONG..."
KAMI : "erk" (Masing-masing bangun dari kerusi dan bergerak untuk keluar)
Encik Khairul Azam : "Eh, kamu nak ke mana? Saya cakap je. Saya tak marah pun. Duduklah."
KAMI : (Senyum kerana kami FAHAM) "Tak apa encik. Kami keluar dulu."




Saya berasa sangat malu dan terkadang lucu apabila memikirkan situasi ini. Namun, inilah hakikat yang berlaku dalam sesebuah majlis terutamanya majlis di UPSI. Perkara utama yang menjadi masalah ialah kehadiran para pelajar UPSI dalam sesebuah program. Oleh sebab itulah, kamilah di barisan AJK yang perlu hadir bagi memeriahkan dan meramaikan sesebuah program tersebut.

*p/s : Masih berasa malu. Sampaikan salam saya kepada En. Khairul Azam ya, Puan Husna. Maaf. :)


*Secebis kenangan bakal-bakal guru bahasa. Amin*




Tuesday, 17 April 2012

Situasi Dua Puluh Tujuh-17/04/12

Assalamualaikum semua. Selama hampir lima hari saya pulang ke rumah bagi mengisi saki baki cuti pertengahan semester, saya hampir terlupa untuk mengisi blog ini. Nasib baik saya sempat melakar satu entri ketika waktu cuti tersebut. Ketika saya berada di kampung, saya berbahasa atau berkomunikasi dengan menggunakan dialek Jawa. Jujur saya katakan bahawa saya rindu untuk berdialog dengan menggunakan dialek ini. Setiba sahaja di kampung, saya disapa dengan pelbagai pertanyaan biasa atau Puan Husna menggelarnya dengan nama 'fatic communion' jika tidak silap saya. Seperti bahasa lain juga, dialek Jawa juga mempunyai bahasa basinya tersendiri. Bahasa 'basi' yang dimaksudkan ialah bahasa untuk memulakan perbualan, atau mengisi kekosongan perbualan.

Oleh itu, pada entri kali ini saya ingin berkongsi tentang  fatic communion  yang terdapat dalam bahasa jawa. Kebiasaannya, penutur dialek Jawa akan bertanya tentang beberapa topik yang sudah sebati dengan kehidupan seharian mereka iaitu tentang:

1) Kesihatan
2) Pemakanan
3) Keluarga

Sebagai contoh, setibanya saya di kampung, saya telah diajukan dengan pelbagai soalan seperti yang terdapat di dalam kelompok di atas:

a) "Kabare? Waras opo orak?" - 'Apa khabar? Sihat atau tak?'
b) "Wes mangan/ngombeh opo urong?" - ' Dah makan/minum apa belum?'
c) "Mak'e/pak'e nengdi?neng ngumah?" - 'Mak/ayahnya di mana?di rumah?'
d) "Teko karo sopo?" - 'Datang dengan siapa?'

Demikianlah common language yang biasa diguna pakai oleh penutur dialek Jawa. Bahasa basi ini seakan menjadi zikir bagi kami ketika hendak memulakan perbualan antara satu sama lain. Bahkan, sesama mahasiswa Jawa di UPSI juga, kami turut menggunakan pertanyaa sebegini sebelum memulakan perbualan. Oleh itu, selepas ini, rakan-rakan bolehlah cuba untuk mempraktikkannya dalam kawasan UPSI. Selamat mencuba :)


Monday, 9 April 2012

Situasi Dua Puluh Enam-16/04/12

Ketika sedang melakar bicara di blog ini, saya sedang menikmati cuti pertengahan semester di rumah. Saya tidak dapat menunggu untuk berkongsikan satu cerita kepada rakan-rakan dan juga Puan Husna. Begini kisahnya, ketika saya sedang menghadiri Perkhemahan Kelana Siswa di Taman Rimba Komanwel, Rawang, kami didatangai atau dikunjungi oleh Tuan Haji Abdul Shukor bin Mohsin, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia. Kedatangann secara mengejut menyebabkan kami, para urusetia perlu membuat persiapan degan kadar yang segera. Setelah segala persiapan telah dilakukan, maka kami pun mempersilakan Tuan Haji Shukor bin Mohsin untuk datang ke dewan serbaguna untuk memberikan sedikit ucapan dan amanat. Oleh itu, para peserta berkumpul di dalam dewan dan kami para urusetia berbaris di hadapan dewan untuk menyambut kedatangan beliau. Ketika, ucapan sambutan dibacakan, saya begitu terkejut dan hanya mampu terdiam. Hal ini demikian kerana, pengacara majlis memanggil Tuan Haji Abdul Shukor bin Mohsin dengan panggilan Ynag Berhormat sedangkan beliau bukanlah seorang ahli parlimen atau wakil rakyat.

Setelah itu, tibalah masa untuk beliau menyampaikan ucapan dan saya sudah menjangkan bahawa beliau akan menegur tentang gelarannya ini. Seperi yang saya jangka, beliau menegur pengerusi majlis secara halus, dengan berkata 'Saya bukan Yang Berhormat. Saya belum bertanding lagi. Tunggu pilihan raya ke-13 nanti ye.'. Pengerusi majlis tersipu malu dan kami di barisan urusetia turut merasa tempiasnnya. Ketika itu juga saya teringat akan peristiwa yang berlaku ketika malam pementasan drama Pasir-pasir di Pasir Salak pada awal semester ini. Secara tidak langsung, saya sedar akan kepentingan mengetahui gelaran-gelaran ini supaya tidak berlaku kesalahan yang sedemikian rupa. Saya berasa beruntung kerana mempelajari tentang gelaran dan panggilan ini di dalam kursus Sosiolinguistik Melayu oleh Puan Husna. :)

Situasi Dua Puluh Lima-06/04/12

Pada hari ini saya akan bergerak ke tapak perkhemahan Taman Rimba Komanwel di Rawang untuk membantu rakan-rakan saya dalam mengendalikan perkhemahan Kelana Siswa. Namun sebelum itu, saya telah pergi ke tapak kem terlebih dahulu untuk membayar sewa tapak kepada jabatan perhutanan. Saya bertolak ke jabatan perhutanan pada pukul 10 pagi, waktu tempatan. :) Setelah tiba di jabatan perhutanan, saya dan rakan terpaksa berkejar pulang kerana kami perlu menghadiri kelas pada jam 3 petang. Oleh sebab itu,kami pulang ke Tanjong Malim dengan tergesa-gesa, melalui lebuhraya.

Ketika sedang leka berbahasa basi di dalam kereta, tanpa kami sedari kami telah didatangi oleh seorang lelaki yang berumur dan berbangsa Cina. Kelibatnya di tepi tingkap saya membuatkan saya terkejut dan tersentak . Tambahan lagi, saat itu saya berada di dalam kereta, di tengah-tengah lebuhraya dan kereta kami sedang bergerak. Ya! Sedang dan masih bergerak. Saya begitu terkejut. Tetapi, lelaki Cina tersebut masih mengetuk-ngetuk cermin tingkap kereta saya sambil menjerit dan menyuarakan sesuatu. Oleh kerana takut, saya tidak membuka tingkap dan menyuruh kawan saya memecut kereta dengan laju.

Namun begitu, apabila saya menoleh ke belakang setelah memecut sejauh 50 meter, saya dapati bahawa lelaki Cina tersebut bukanlah orang gila atau orang yang berbahaya. Hakikatnya, lelaki tersebut hanya ingin bertanya tentang jalan untuk ke Ipoh. Saya begitu menyesal dan malu. Malu kepada diri sendiri dan malu kepada rakan saya. Beginilah sikap segelintir orang Melayu yang hanya terpengaruh dengan aspek fizikal atau nyata tanpa usul periksa. Kelakuan saya pada hari ini sangatlah memalukan dan sungguh tidak sopan. Jika masa dapat diputar, saya ingin memohon maaf kepada lelaki Cina atau pak cik tersebut kerana tidak berkelakuan sopan kepadanya. Terkadang saya malu untuk memegang peribahasa 'bahasa budaya bangsa' kerana peibahasa ini seakan TIDAK SESUAI untuk saya. Saya berharap pada masa akan datang, saya akan lebih bersopan dan memeriksa terlebih dahulu sebelum bertindak. Tambahan lagi, sebagai menyokong usaha Perdana Menteri tentang konsep '1 Malaysia', saya sepatutnya lebih MESRA, RAMAH dan SANTUN dalam berkomunikasi.

*p/s: Maafkan saya 'UNCLE' (T_T)

Thursday, 5 April 2012

Situasi Dua Puluh Empat-05/04/12

Sedang rakan-rakan saya berpusu-pusu pulang ke kampung, tinggallah saya seorang di sini, di KHAR, di UPSI, di bumi Tanjong Malim. Ya, tinggal saya seorang di sini kerana saya mengikuti perkhemahan Kelana Siswa pada hari jumaat hingga hari ahad. Ketika sedang sibuk mengemas beg, saya terfikir tentang forum MBMMBI yang diadakan di auditorium semalam. Bahasa Melayu kini tergugat dan kita sebagai bangsa Melayu serta masyarakat Melayu itu sendiri tidak menjaga dan mengamalkan bahasa Melayu. Sejujurnya, sya juga merasakan bahawa apabila kita berbicara dengan bahasa Inggeris, tahap keyakinan diri kita akan menjadi tinggi, begitu juga pandangan orang lain terhadap diri kita. Namun, hakikatnya sebahagian masyarakat yang lain pula akan mengutuk saya dari belakang dan mengatakan bahawa saya tidak mempunyai jati diri dan tidak berpendirian. Hakikatnya, saya pernah ditegur atau disindir oleh pensyarah saya, kerana berbahasa Inggeris dengannya, meskipun saya pelajar Kursus Bahasa Melayu. 

Situasi ini berlaku ketika saya sedang mengadakan temu janji dengan salah seorang pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi untuk bertanyakan tugasan English and Communication. Ya, pensyarah tersebut merupakan seorang pensyarah Bahasa Inggeris. Sudah tentu saya akan berbahasa Inggeris ketika berjumpa dengannya kerana dalam fikiran saya, saya perlu berbahasa Inggeris ketika bercakap dengan pensyarah bahasa Inggeris dan begitu juga sebaliknya. Namun begitu, tanggapan ini salah sebenarnya. Ketika saya masuk ke bilik beliau dan bertanyakan tugasan, saya memulakan perbualan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Kemudian, beliau langsung bertanya 'Are you Teslian?'. Saya terus menjawab, 'No, I'm not. Why Dr.?'. Pensyarah tersebut terus menjawab 'Jadi, bercakaplah dengan bahasa anda.'. Saya berasa sangat malu dan terus memulakan perbualan dengan menggunakan bahasa Melayu. Oleh itu, pengajaran yang ingin saya sampaikan di sini ialah, janganlah malu untuk berbahasa Melayu dan kita haruslah mempunyai semangat jati diri yang tinggi. Sekian, setakat ini dahulu coretan saya. Selamat membaca dan bermuhasabah diri rakan-rakan. :)

*p/s: MALU!!!! 

Wednesday, 4 April 2012

Situasi Dua Puluh Tiga-04/03/12

Selamat petang semua! Saya baru sahaja selesai dari menghadiri forum "Keberkesanan Pelaksanaan Pendekatan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Pendidikan di Sekolah" di auditorium utama, UPSI. Pelbagai input dan maklumat yang saya perolehi dari forum ini. Antara tetamu atau ahli panelnya ialah Prof. Dr. Teo Kok Seong, Prof. Dato Dr. Wan Hashim bin Wan Teh dan Prof Datuk Wira Dr. Abdul Latiff bin Abu Bakar. Sudah tentu isu yang dibincangkan dalam forum ini adalah berkenaan dengan dasar MBMMBI. Namun begitu, saya tertarik dengan ucapan yang telah diberi oleh Prof. Dr. Teo Kok Seong. Menurut beliau, bahasa Melayu di Malaysia kini semakin 'mendapat' dan mengalami perubahannya. Perubahan yang dimaksudkan ialah, penggunaan bahasa Melayu dalam aspek atau taraf yang tinggi seperti antarabangsa. 

Seperti yang kita ketahui, kita perlu bergerak seiring dengan arus permodenan. Namun begitu, perkara ini tidak bermaksud supaya kita meninggalkan bahasa Melayu dan turut menghanyutkan bahasa kita ini dengan arus permodenan tersebut. Sebenarnya, perkara yang cuba disampaikan di sini ialah kita tidak sewajarnya meninggalkan bahasa Melayu dan menggantikan bahasa ini dengan bahasa dunia atau lingua franca iaitu bahasa Inggeris. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris ini telah diperakui penggunaanya di seluruh dunia. Namun begitu, bahasa Melayu juga sebenarnya berpotensi untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa Inggeris. 

Menurut Prof. Dr. Teo Kok Seong juga, bahasa Melayu semakin mengalami perubahan. Pada awal pengeluaran kereta nasional, nama yang diguna pakai bagi kesemua jenama baru ini adalah dari bahasa Melayu iaitu Saga, Satria, Waja, Kancil, Kelisa, Wira dan sebagainya. Namun begitu, apabila arus permodenan mula menapak di pasaran negara, maka pengeluaran kereta bermula pada tahun 2004 sehingga kini telah memperkenalkan kereta seperti Gen-2, Myvi, Satria Neo dan sebagainya yang berasal dari bahasa Inggeris!! Hakikatnya, tanpa kita sedari bahasa Melayu telah dipinggirkan sedikit demi sedikit. Setelah saya mendengar luahan hati Prof. Dr. Teo Kok Seong, saya baru menyedari bahawa bahasa kesayangan kita iaitu bahasa Melayu kini tergugat! *hakikatnya, bahasa Melayu SUDAH LAMA tergugat dan DIGUGAT*


Sejujurnya, saya sebagai orang berbangsa Melayu, berbahasa Melayu dan mengambil kursus Pendidikan Bahasa Melayu berasa sangat malu kepada diri sendiri khususnya kepada Prof. Dr. Teo Kok Seong . Hal ini demikian kerana, meskipun beliau merupakan orang Cina, bahasa pertamanya bahasa Cina, namun beliau sangat petah berbicara dan berbahasa Melayu dan yang paling penting, beliau merupakan salah seorang tokoh yang memperjuangkan bahasa Melayu. Ya! BAHASA MELAYU. Oleh yang demikian, kepada para rakan dan diri saya sendiri, kita perlu sedar dan bangkit untuk memperjuangkan bahasa Melayu ini supaya bahasa kesayangan kita ini tidak mati ditelan zaman. Wassalam..

*p/s : Forum 
"Keberkesanan Pelaksanaan Pendekatan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Pendidikan di Sekolah" sangat berguna dan memberi kesan kepada penontonnya. Terima kasih bagi rakan-rakan yang sudi memeriahkan forum ini. Tidak lupa juga kepada Puan Husna yang turut hadir. :)

Situasi Dua Puluh Dua-03/04/12

Pada entri sebelum ini saya ada mengulas tentang makna peribahasa, beserta cakupannya. Oleh itu, pada entri kali ini pula saya ingin berkongsi tentang keberkesanan dan perluasan penggunaan peribahasa ini dalam kegiatan masyarakat Malaysia. Kegiatan yang saya maksudnya adalah seperti program-program rasmi mahupun tidak rasmi, dialek-dialek masyarakat di Malaysia dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum, bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang kaya dengan peribahasa dan seninya. Hal ini terbukti apabila wujudnya kelompok-kelompok peribahasa yang digunakan secara meluas seperti ibarat, tamsil, perbilangan, perumpamaan, seloka, gurindam dan sebagainya. 

Tanpa kita sedari, kesenian peribahasa dalam komunikasi baik secara lisan mahu pun tidak lisan ini digunakan secara meluas. Buktinya dapat dilihat dalam majlis-majlis formal seperti majlis perasmian, ceramah dan sebagainya. Bagi pihak pengerusi atau pengacara majlis, majlis akan didahului dengan kata-kata aluan dan diselitkan sekali dengan pantun, peribahasa dan kadang kala simpulan bahasa dalam pengacaraanya. Selain itu, yang paling menyeronokkan ialah, peribahasa atau perumpamaan yang diguna pakai ini difahami secara konvensional oleh penutur natif mahupun bukan penutur natif bahasa Melayu. Maksudnya di sini ialah, aspek peribahasa dalam majlis kemasyarakatan ini diterima dan disahkan penggunaan serta keseniannya. Petikan di bawah merupakan salah satu contoh peribahasa yang diguna pakai dalam majlis-majlis kemasyarakatan:


"Bak kata pepatah ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’. Oleh itu bagi pihak Kerajaan Negeri, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur atas daya usaha dan inisiatifnya dalam menjalankan program ini."   

"Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Sebelum mengakhiri majlis, saya selaku pengacara majlis berharap semoga jalinan kerjasama ini akan terus diperkukuhkan pada masa-masa yang akan datang, bak kata pepatah, ‘air dicincang takkan putus, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni'."

Selain itu, penggunaan kata simpulan bahasa juga digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Kebanyakannya, simpulan bahasa ini digunakan dalam konteks yang tidak formal seperti perbualan sesama keluarga, rakan, dan sebagainya. Harus diakui juga bahawa, simpulan bahasa seakan sudah sebati dengan kehidupan kita sebagai masyarakat Melayu kerana kita tidak akan lari dari membincangkan atau dizikirkan dengan kesenian simpulan bahasa ini dan asoek-aspek peribahasa yang lain. Antara penggunaan simpulan bahasa dalam konteks tidak formal adalah seperti berikut:
"Jangan curi tulang, kerja-kerja! Jangan makan gaji buta!"
"Perkara ini sudah menjadi buah mulut ramai orang, tahu?"

"Bagi mengelakkan campur tangan pihak atasan, mari kita selesaikan masalah ini dengan cara yang elok."

Oleh yang demikian, kita sebagai penutur natif bahasa Melayu haruslah bangga kerana memiliki bahasa yang sangat dinamik dan penuh dengan keseniannya yang tersendiri. Selain itu, penerimaan bahasa ini dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah sangat diperlukan supaya bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting seperti bahasa-bahasa yang lain. Akhir kata, jika kita sendiri tidak memperjuangkan bahasa kita, maka siapa lagi yang akan melakukannya? :)










Monday, 2 April 2012

Situasi Dua Puluh Satu-02/04/12


Bidalan

Menurut Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:121) ialah peribahasa yang terdiri daripada ungkapan-ungkapan yang ringkas lagi bijaksana dan mempunyai makna selapis. Selain itu, bidalan lebih kerap digunakan dan di dalamnya terdapat perbandingan dan teladan tertentu. Berikut merupakan contoh bidalan:

Ikut suka,luka
Ikut hati,mati
Ikut rasa,binasa

Bawa resmi padi
Makin berisi, makin tunduk
Jangan bawa resmi jagung
Makin berisi makin jegang

(Alwi Salim, 1983:20)
Pepatah

Menurut Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:133) juga, pepatah merupakan salah satu daripada jenis peribahasa. Pepatah dilihat seakan-akan sama dengan bidalan tetapi mempunyai rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran. Pepatah juga dibentuk berdasarkan sesuatu peristiwa yang berlaku dalam kehidupan. Contoh pepatah adalah seperti berikut:
  • ·         Harapkan hidangan sampai ke lutut

Maksud:Orang tidak mahu berusaha tetapi mengharapkan kesenangan datang kepadanya.
  • ·         Karam berdua basah seorang

Maksud:Dua orang yang melakukan kesalahan, tetapi seorang sahaja yang kena hukum
  • ·         Masuk tiga keluar empat

Maksud:Orang yang boros berbelanja sehingga melebihi pendapatannya.

Perbilangan

Perbilangan dapat juga dikenali dengan nama teromba. Perbilangan merupakan bahasa kiasan yang perlu ditafsir secara bersungguh-gungguh untuk mengetahui tujuan dan maksudnya. Perbilangan atau teromba ini merupakan ikatan puisi yang menyatakan tentang adat lembaga bagi masyarakat yang mengamalkan Adat Pepatih. Perilangan ini diperturunkan dari mulut ke mulu, dari satu generasi ke satu generasi melalui ketua-ketua adat lembaga yang disebut ‘Buapak’. Berikut merupakan contoh bagi perbilangan atau teromba (Alwi Salim, 1983:92-93):

Adat bersendi hukum
hukum bersendi Kitabullah
kuat adat, tak gaduhkan hukum
kuat hukum, tak gaduhkan adat
ikut hukum, muafakat
ikut adat, muafakat.
Gurindam

Gurindam adalah salah satu puisi Melayu lama. Gurindam dikatakan berasal dari perkataan India dan dibaca dengan lagu tersendiri, dan berbeza jika dibandingkan dengan lagu syair Melayu. Puisi gurindam mempunyai kata-kata nasihat dan kebiasaannya mempunyai rima akhir yang sama (http://resam-melayu.com/2010/07/gurindam-melayu.html). Menurut Drs. A. Bakar Hamid dalam Diskusi Sastera Jilid 1 menyatakan gurindam adalah satu lagi jenis puisi lama yang mengandungi unsur-unsur pengaruh Hindu. Ia mempunyai dua baris, berskima puisi aa, dan keistimewaannya ialah isinya berupa nasihat atau petua. Antara gurindam yang mahsyur ialah ‘Gurindam 12 Raja Ali Haji’, seperti petikan di bawah:

apabila dengki sudah bertanah
datang daripadanya beberapa anak panah

mengumpat dan memuji hendaklah pikir
di situlah banyak orang yang tergelincir

pekerjaan marah jangan dibela
nanti hilang akal di kepala

jika sedikit pun berbuat bohong
boleh diumpamakan mulutnya itu pekung

tanda orang yang amat celaka
aib dirinya tiada ia sangka


Mengikut Za’ba dalam Pelita Bahasa Melayu, Penggal III (1962:193-4), gurindam mempunya ipelbagai jenis dan gurindam melarat merupakan salah satu jenisnya yang sama dengan karangan prosa iaitu membicarakan suatu gambaran kias, ibarat, gurau-senda dan sebagainya.

Seloka

Menurut Prof. Mohd Taib Osman, berpendapat bahawa gurindam dan seloka itu tidak jauh bezanya dengan puisi lisan. Seloka mempunyai bahasa yang kerap-kali meleret, lanjut, sindirannya giat, selalu tajam, seperti mengejek atau menempelak. Isinya juga boleh mengandungi perasaan hiba, rawan, sedih, sayu, asyik-mengasyik, berahi-khayal, mimpi atau berangan-angan. Selain itu, seloka sama juga seperti gurindam iaitu merupakan salah satu jenis puisi yang dicontohi oleh orang Melayu, khususnya selepas kedatangan Hindu di Tanah Melayu (Alwi Salim, 1983:50-51). Contoh seloka adalah seperti berikut:

Oh! Dari mana si cantik manis,
Si pinggang ramping,
Lagak berkacak,
Apa cita dengan hajat,
Ada kehendak yang boleh dapat?

Tahan racik di seberang sana,
Elak burung di seberang sini,
Perut buncit hendak mana?
Tersorong-sorong ke arah kami.

Peribahasa

Menurut Zainal Abidin Ahmad atau Za’ba dalam Ilmu Mengarang Melayu (1934), peribahasa dikatakan sebagai segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya. Selain itu, menurut sumber lain pula peribahasa merupakan susunan kata yang indah dan memberikan makna yang luas dan mendalam (http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klik4ogos5.pdf). Hakikatnya, peribahasa merupakan lambang watak dan sifat sesuatu bangsa. Selain itu, peribahasa yang lahir juga akan membantu masyarakat memahami keadaan semula jadi serta perwatakan sesuatu bangsa itu.

            Abdullah Yusof, Alias Mohd Yatim dan Mohd Ra’in Shaari (2009:110-111) ada mengulas tentang peribahasa-peribahasa yang wujud dalam masyarakat Melayu. Contohnya seperti berikut:

·         Kain gaharu kain cendana, sudah tahu bertanya pula.
·         Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
·         Sudah jatuh, ditimpa tangga.
·         Siapa makan cabai, dialah yang merasa pedasnya.
·         Air yang tenang jangan disangka tiada buaya.
·         Lembu punya susu sapi dapat nama.

Simpulan bahasa

Simpulan Bahasa merupakan ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna tersirat. Apabila sesuatu perkataan di dalam ungkapan tersebut dipisahkan, ia menjadi perkataan tersendiri dan hanya membawa makna asalnya. Sebaliknya apabila perkataan tersebut dirangkaikan dengan perkataan lain, maka maknanya akan berubah daripada makna perkataan asalnya tadi. Namun begitu, terdapat sebilangan tokoh bahasa yang memasukkan simpulan bahasa sebagai salah satu jenis peribahasa, namun Za’ba mengasingkan simpulan bahasa daripada peribahasa.  Contoh simpulan bahasa adalah seperti dalam laman sesawang ini (http://bahasamelayutuisyen.wordpress.com/category/simpulan-bahasa/).

Perumpamaan

Perumpamaan merupakan kata-kata yang menggunakan perkataan umpama, bagai atau seperti untuk membandingkan sesuatu dengan benda yang lain seperti contoh berikut:

Seperti pinang dibelah dua
Seperti kaca jatuh ke lantai
Bagai cincin dengan permata
Bagai isi dengan kuku

Namun begitu, terdapat juga perumpamaan yang tidak menggunakan kata bandingan bagai atau seperti di permulaannya tetapi masih juga disebut sebagai perumpamaan. Contohnya:

Mendengar guruh di langit, air di tempayan dicurah jangan
Besar kayu, besar dalam, besar periuk, besar keraknya
Bagai rumput di tengah jalan, mati tak mahu, hidup segan
Macam timun dengan durian, menggolek luka kena golek pun luka.

(Alwi Salim, 1983: 20-21)

Kata-kata pujangga

Kata-kata pujangga merupakan himpunan perkataan atau bait-bait kata indah yang dapat memberi motivasi kepada seseorang individu itu. Selain itu, kata-kata pujangga ini dapat juga dikenali dengan kata-kata hikmah, kata-kata mutiara dan sebagainya. Kata-kata hikmah ini merupakan koleksi kata-kata mutiara indah yang sesuai dijadikan motivasi dan pengisian jiwa. Berikut merupakan contoh kata-kata pujangga yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh terkenal:

'Apabila anda benar, anda tak perlu marah. Apabila anda salah, anda tak boleh marah.'
Mahatma Gandhi

'Bercakap-cakap adalah bertukar fikiran, bertukar pendapat dan bertukar pengalaman.
Rahsia bercakap ialah pandai bicara, pandai bertanya dan pandai mendengar.'
Pythatoras

'Diri manusia itu hanya kecil sahaja tetapi dalam diri yang kecil itu terdapat satu alam yang besar.'
Saidina Ali Abi Talib r.a

'Kejayaan tidak datang kepada manusia yang leka.'
Charles Cahier

'Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu: dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau ; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau ; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau ; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya.'
Saidina Abu Bakar r.a

Selain itu, untuk rujukan tambahan rakan-rakan boleh melawat laman sesawang ini http://ibnismail.wordpress.com/kata-pujangga/

Hadis melayu


Roslan Mohamed mendifinisikan hadis Melayu sebagai al-Sunah. Al-Sunah dari segi bahasa bermaksud perjalanan, amalan, metod atau cara hidup. Ia juga bermaksud membuka atau merintis jalan sama ada yang baik atau yang buruk. Al-Sunah dari segi istilah ahli-ahli hadis ialah apa-apa yang terbit daripada Nabi Muhamad s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat, kejadian, akhlak dan sejarah sama ada sebelum diutuskan menjadi Rasul atau selepas diutuskan menjadi Rasul (Utusan Malaysia, 27 Jun 2006 ).

Oleh itu, sebagai seorang hamba Allah, tidak salahlah kiranya jika kita mengamalkan hadis-hadis yang sangat berguna kepada kita. Sebagai seorang perlajar, eloklah kiranya jika kita mengamalkan hadis berikut:
Hadis menghafal ilmu

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ إِنَّ النَّاسَ يَقُولُونَ أَكْثَرَ أَبُو هُرَيْرَةَ
وَلَوْلَا آيَتَانِ فِي كِتَابِ اللَّهِ مَا حَدَّثْتُ حَدِيثًا
 ثُمَّ يَتْلُو إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلْنَا مِنْ الْبَيِّنَاتِ
وَالْهُدَى إِلَى قَوْلِهِ الرَّحِيمُ إِنَّ إِخْوَانَنَا مِنْ الْمُهَاجِرِينَ
 كَانَ يَشْغَلُهُمْ الصَّفْقُ بِالْأَسْوَاقِ
وَإِنَّ إِخْوَانَنَا مِنْ الْأَنْصَارِ كَانَ يَشْغَلُهُمْ الْعَمَلُ فِي أَمْوَالِهِمْ
وَإِنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ كَانَ يَلْزَمُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
بِشِبَعِ بَطْنِهِ وَيَحْضُرُ مَا لَا يَحْضُرُونَ وَيَحْفَظُ مَا لَا يَحْفَظُونَ

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: "Sesungguhnya orang-orang yang sama
berkata bahawa Abu Hurairah telah memperbanyak meriwayat hadith.
Tetapi andaikata tidak ada dua ayat dalam kitabullah yakni Al-Quran,
tentu sebuah hadith pun tidak akan saya beritahukan.
Selanjutnya Abu Hurairah membacakan ayat yang ertinya:

"Sesungguhnya orang-orang yang menyimpan apa-apa yang kami
turunkan dari berbagai keterangan sampai pada firman-Nya, Maha Penyayang
Sesungghnya saudara-saudara kita dari golongan kaum Muhajirin sama
disibukkan oleh jual belinya di pasar dan saudara-saudara kita dari
golongan Ansar juga disibukkan oleh pekerjaan mereka dalam
mengerusi harta benda mereka, tetapi Abu Hurairah itu
sentiasa menepati yakni terus mengikuti  Rasulullah s.a.w.
dengan perutnya yang kenyang dan selalu hadir ditempat yang
tidak dihadiri oleh sahabat lain-lain serta dapat menghafal
apa-apa yang mereka tidak sempat menghafalnya"

              -Hadis sahih riwayat Bukhari-

Followers

Music Is My Life


Powered By KakiBlog