Pada minggu lepas, telah diadakan pembentangan tentang drama yang dirakam oleh setiap kumpulan. Pembentangan tersebut selari dengan soalan dan objektif yang diminta oleh Puan Husna iaitu merakamkan aspek kesantunan bahasa dalam beberapa situasi sama ada situasi formal, tidak formal dan sebagainya. Maka, terdapat beberapa kumpulan telah membentangkan hasil rakaman mereka dan boleh dikatakan bahawa kesemua kumpulan merakamkan aspek kesantunan bahasa dalam situasi tidak formal, dan terdapat satu buah kumpulan sahaja yang merakamkan aspek kesantunan yang terdapat dalam majlis formal. Namun, isu dan mesej yang ingin disampaikan oleh kesemua kumpulan ialah sama iaitu mengenai kesantunan berbahasa oleh masyarakat di Malaysia, khususnya.
Ulasan saya tentang rakaman yang telah dibuat ialah, saya kini menyedari bahawa kejadian atau situasi yang telah dirakam dan ditayangkan kepada kelas merupakan situasi yang biasa berlaku di dunia realiti. Maksudnya di sini ialah, kebanyakan situasi yang dirakam tersebut dialami oleh saya sendiri, rakan-rakan, pensyarah dan sebagainya. Jika diimbas kembali, terdapat kumpulan yang merakamkan situasi tidak mengamalkan kesantunan bahasa antara pelajar (mahasiswa UPSI) dengan orang yang lebih tua (kerani FBK), orang yang mempunyai pangkat (para pensyarah) dan sebagainya. Maka, saya akan ulas aspek ketidaksantunan bahasa dalam situasi tersebut berdasarkan rumus Alternasi.
Namun, sebelum itu, saya akan terangkan terlebih dahulu tentang rumus Alternasi itu sendiri. Para 'blogger' sekian, rumus Alternasi telah diperkenalkan oleh Ervin-Tripp berdasarkan sistem sapaan. Ervin-Tripp telah memperkenalkan tiga jenis rumus dalam sistem sapaan iaitu:
- Rumus Alternasi
Rumus alternasi ialah, rumus yang menggunakan kaedah yang berkaitan dengan cara seseorang tersebut berkomunikasi. Seseorang akan memilih salah satu daripada pasangan seperti antara kanak-kanak atau orang dewasa, diketahui nama atau tidak, bergelar atau tidak, tua atau muda, dalam keadaan berstatus atau tidak dan sebagainya. Kesemua ini meruapakan faktor yang mempengaruhi penggunaan sistem sapaan bagi seseorang individu tersebut. Contohnya, gelaran Yang Berbahagia bagi individu berpangkat dalam sesebuah majlis formal, tuan/puan dalam sesebuah organisasi yang formal,serta sebagainya.
- Rumus Kejadian Bersama
Berdasarkan rumus ini, sesuatu rujukan kehormat mesti disesuaikan dengan kedudukan orang yang disapa. Dalam bahasa Melayu, terdapat rujukan kehormat yang mesti dipakai pada tempat yang telah ditetapkan.Maknanya, kata sapaan perlu dimulakan dengan rujukan kehormat terlebih dahulu dan barulah diikuti dengan gelaran yang disandang, kemudian namanya sendiri, seperti yang telah dirakamkan oleh kumpulan saya iaitu Yang Berbahagia Tan Sri Kodri bin Ishak.
- Rumus Perurutan
Terdapat susunan kata-kata sapaan yang dimulai dengan rujukan kehormat kepada gelaran yang disandang dan selepas itu nama peribadi yang disapa. Gelaran yang dimiliki, jika lebih daripada satu, perlu diatur mengikut kaedah yang biasa atau ditetapkan penggunaannya. Contohnya, Yang Berbahagia Dato' Paduka Dr. Junaidi bin Abu Bakar perlu disebut dengan rujukan kehormatnya terlebih dahulu iaitu Yang Berbahagia, kemudian gelaran yang disandang olehnya iaitu Dato' Paduka Dr. dan namanya ialah Junaidi bin Abu Bakar.
Oleh itu, berdasarkan rumus Alternasi, saya dapat mengulas sedikit tentang rakaman yang telah ditayangkan oleh kumpulan 1 yang diketuai oleh saudara Kodri. Jika diulas berdasarkan rumus Alernasi, maka kita dapat lihat pemilihan atau penggunaan rumus ini dalam sistem sapaan di dalam video tersebut. Rumus ini dapat dilihat melalui pembawaan watak Kodri dan Nabsiah berdasarkan pasangan diketahui namanya atau tidak. Nabsiah menggunakan sistem sapaan yang tidak sopan ketika berkomunikasi dengan Kodri, meskipun Nabsiah tidak mengenali sama sekali Kodri. Tambahan lagi, Kodri merupakan orang yang lebih berpangkat daripanya dirinya. Selain itu, daripada pasangan orang tua dan muda pula, Nabsiah langsung tidak menghormati Puan Ann (Azreen) iaitu kerani di FBK. Malahan, Nabsiah bercakap dengan bahasa yang kurang sopan, biadap dan sombong.
Berdasarkan rakaman dan rumus Alternasi ini, pelbagai maklumat baharu yang telah saya perolehi dan saya sama sekali tidak pernah puas, bahkan makin seronok untuk mengetahui dengan lebih lanjut.
*p/s: Ilmu Itu Indah. :)
No comments:
Post a Comment