Blogger Widgets

Wednesday, 4 April 2012

Situasi Dua Puluh Dua-03/04/12

Pada entri sebelum ini saya ada mengulas tentang makna peribahasa, beserta cakupannya. Oleh itu, pada entri kali ini pula saya ingin berkongsi tentang keberkesanan dan perluasan penggunaan peribahasa ini dalam kegiatan masyarakat Malaysia. Kegiatan yang saya maksudnya adalah seperti program-program rasmi mahupun tidak rasmi, dialek-dialek masyarakat di Malaysia dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum, bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang kaya dengan peribahasa dan seninya. Hal ini terbukti apabila wujudnya kelompok-kelompok peribahasa yang digunakan secara meluas seperti ibarat, tamsil, perbilangan, perumpamaan, seloka, gurindam dan sebagainya. 

Tanpa kita sedari, kesenian peribahasa dalam komunikasi baik secara lisan mahu pun tidak lisan ini digunakan secara meluas. Buktinya dapat dilihat dalam majlis-majlis formal seperti majlis perasmian, ceramah dan sebagainya. Bagi pihak pengerusi atau pengacara majlis, majlis akan didahului dengan kata-kata aluan dan diselitkan sekali dengan pantun, peribahasa dan kadang kala simpulan bahasa dalam pengacaraanya. Selain itu, yang paling menyeronokkan ialah, peribahasa atau perumpamaan yang diguna pakai ini difahami secara konvensional oleh penutur natif mahupun bukan penutur natif bahasa Melayu. Maksudnya di sini ialah, aspek peribahasa dalam majlis kemasyarakatan ini diterima dan disahkan penggunaan serta keseniannya. Petikan di bawah merupakan salah satu contoh peribahasa yang diguna pakai dalam majlis-majlis kemasyarakatan:


"Bak kata pepatah ‘orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa’. Oleh itu bagi pihak Kerajaan Negeri, saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada pihak penganjur atas daya usaha dan inisiatifnya dalam menjalankan program ini."   

"Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’. Sebelum mengakhiri majlis, saya selaku pengacara majlis berharap semoga jalinan kerjasama ini akan terus diperkukuhkan pada masa-masa yang akan datang, bak kata pepatah, ‘air dicincang takkan putus, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni'."

Selain itu, penggunaan kata simpulan bahasa juga digunakan secara meluas dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Kebanyakannya, simpulan bahasa ini digunakan dalam konteks yang tidak formal seperti perbualan sesama keluarga, rakan, dan sebagainya. Harus diakui juga bahawa, simpulan bahasa seakan sudah sebati dengan kehidupan kita sebagai masyarakat Melayu kerana kita tidak akan lari dari membincangkan atau dizikirkan dengan kesenian simpulan bahasa ini dan asoek-aspek peribahasa yang lain. Antara penggunaan simpulan bahasa dalam konteks tidak formal adalah seperti berikut:
"Jangan curi tulang, kerja-kerja! Jangan makan gaji buta!"
"Perkara ini sudah menjadi buah mulut ramai orang, tahu?"

"Bagi mengelakkan campur tangan pihak atasan, mari kita selesaikan masalah ini dengan cara yang elok."

Oleh yang demikian, kita sebagai penutur natif bahasa Melayu haruslah bangga kerana memiliki bahasa yang sangat dinamik dan penuh dengan keseniannya yang tersendiri. Selain itu, penerimaan bahasa ini dalam kalangan masyarakat Malaysia adalah sangat diperlukan supaya bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting seperti bahasa-bahasa yang lain. Akhir kata, jika kita sendiri tidak memperjuangkan bahasa kita, maka siapa lagi yang akan melakukannya? :)










No comments:

Post a Comment

Followers

Music Is My Life


Powered By KakiBlog