Selamat petang semua! Saya baru sahaja selesai dari menghadiri forum "Keberkesanan Pelaksanaan Pendekatan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Pendidikan di Sekolah" di auditorium utama, UPSI. Pelbagai input dan maklumat yang saya perolehi dari forum ini. Antara tetamu atau ahli panelnya ialah Prof. Dr. Teo Kok Seong, Prof. Dato Dr. Wan Hashim bin Wan Teh dan Prof Datuk Wira Dr. Abdul Latiff bin Abu Bakar. Sudah tentu isu yang dibincangkan dalam forum ini adalah berkenaan dengan dasar MBMMBI. Namun begitu, saya tertarik dengan ucapan yang telah diberi oleh Prof. Dr. Teo Kok Seong. Menurut beliau, bahasa Melayu di Malaysia kini semakin 'mendapat' dan mengalami perubahannya. Perubahan yang dimaksudkan ialah, penggunaan bahasa Melayu dalam aspek atau taraf yang tinggi seperti antarabangsa.
Seperti yang kita ketahui, kita perlu bergerak seiring dengan arus permodenan. Namun begitu, perkara ini tidak bermaksud supaya kita meninggalkan bahasa Melayu dan turut menghanyutkan bahasa kita ini dengan arus permodenan tersebut. Sebenarnya, perkara yang cuba disampaikan di sini ialah kita tidak sewajarnya meninggalkan bahasa Melayu dan menggantikan bahasa ini dengan bahasa dunia atau lingua franca iaitu bahasa Inggeris. Memang tidak dapat dinafikan bahawa bahasa Inggeris ini telah diperakui penggunaanya di seluruh dunia. Namun begitu, bahasa Melayu juga sebenarnya berpotensi untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa Inggeris.
Menurut Prof. Dr. Teo Kok Seong juga, bahasa Melayu semakin mengalami perubahan. Pada awal pengeluaran kereta nasional, nama yang diguna pakai bagi kesemua jenama baru ini adalah dari bahasa Melayu iaitu Saga, Satria, Waja, Kancil, Kelisa, Wira dan sebagainya. Namun begitu, apabila arus permodenan mula menapak di pasaran negara, maka pengeluaran kereta bermula pada tahun 2004 sehingga kini telah memperkenalkan kereta seperti Gen-2, Myvi, Satria Neo dan sebagainya yang berasal dari bahasa Inggeris!! Hakikatnya, tanpa kita sedari bahasa Melayu telah dipinggirkan sedikit demi sedikit. Setelah saya mendengar luahan hati Prof. Dr. Teo Kok Seong, saya baru menyedari bahawa bahasa kesayangan kita iaitu bahasa Melayu kini tergugat! *hakikatnya, bahasa Melayu SUDAH LAMA tergugat dan DIGUGAT*
Sejujurnya, saya sebagai orang berbangsa Melayu, berbahasa Melayu dan mengambil kursus Pendidikan Bahasa Melayu berasa sangat malu kepada diri sendiri khususnya kepada Prof. Dr. Teo Kok Seong . Hal ini demikian kerana, meskipun beliau merupakan orang Cina, bahasa pertamanya bahasa Cina, namun beliau sangat petah berbicara dan berbahasa Melayu dan yang paling penting, beliau merupakan salah seorang tokoh yang memperjuangkan bahasa Melayu. Ya! BAHASA MELAYU. Oleh yang demikian, kepada para rakan dan diri saya sendiri, kita perlu sedar dan bangkit untuk memperjuangkan bahasa Melayu ini supaya bahasa kesayangan kita ini tidak mati ditelan zaman. Wassalam..
*p/s : Forum "Keberkesanan Pelaksanaan Pendekatan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Pendidikan di Sekolah" sangat berguna dan memberi kesan kepada penontonnya. Terima kasih bagi rakan-rakan yang sudi memeriahkan forum ini. Tidak lupa juga kepada Puan Husna yang turut hadir. :)
*p/s : Forum "Keberkesanan Pelaksanaan Pendekatan Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dalam Pendidikan di Sekolah" sangat berguna dan memberi kesan kepada penontonnya. Terima kasih bagi rakan-rakan yang sudi memeriahkan forum ini. Tidak lupa juga kepada Puan Husna yang turut hadir. :)
No comments:
Post a Comment