'Assalamualaikum' atau kata-kata aluan merupakan salah satu aspek penting dalam berkomunikasi. Apabila kita ingin memulakan sebuah perbualan, kata-kata aluan seperti 'assalamualaikum, hello, hai' dan sebagainya merupakan satu perkara yang dititikberatkan. Kata-kata aluan ini sebenarnya memberi tanggapan pertama oleh masyarakat atau si pendengar atau individu yang diajak berbual kepada kita. Aspek ini juga penting untuk menunjukkan sikap santun kita dalam berbahasa dan berkomunikasi. Oleh itu, pada entri kali ini saya ingin bercerita tentang satu insiden kecil yang berlaku di Perpustakaan Tunku Bainun, UPSI. Ketiku itu, saya sedang beratur di kaunter buku untuk memulangkan buku. Barisan yang sangat panjang sudah tentu mengambil masa yang lama dan sudah tentu ramai pelajar yang terpaksa bersabar. Tiba-tiba, datang seorang pelajar lelaki lalu meluru masuk ke barisan saya dan terus berjumpa dengan pekerja perpustakaan tersebut sambil bertanya:
Pelajar lelaki : 'Buku-buku Matematik dan Sains kat mana?'
Pekerja perpustakaan : 'Waalaikumussalam........di tingkat tiga, dik'
Pelajar lelaki : OK.
Pekerja perpustakaan : 'SAMA-SAMA!'
Pelajar tersebut terus berlalu tanpa mengucapkan terima kasih kepada pekerja tersebut dan tanpa meminta maaf kepada kami, yang sudah lama beratur panjang. Tambahan pula, pelajar tersebut juga langsung tidak memberi salam atau kata-kata aluan ketika mahu bertanya. Bagi saya, pelajar ini bukan sahaja tidak mempunyai kesantunan dan kesopanan dalam berbahasa bahkan pelajar ini bersikap kurang ajar sebenarnya. Saya hanya mampu melihat sambil menggelengkan kepala.
*p/s : Apa sudah jadi pada budi bahasa remaja masa kini.
No comments:
Post a Comment